Tafakur Seorang Hamba Allah
Seorang
hamba Allah bertafakkur mengenang hari-hari yang bakal dilaluinya,
setelah lebih empat puluh tahun diizinkan Allah mengecapi nikmatNya di
dunia ini. Betapa dunia ini bukan sahaja sementara malah terlalu singkat
kalau dibandingkan dengan Akhirat. Satu hari di Akhirat sama panjangnya
dengan seribu tahun di dunia. Andainya Allah SWT beri peluang untuk
hidup hingga mencecah usia 65 tahun itu ertinya bersamaan dengan 45
minit menurut perhitungan Akhirat. Ya, sehari di akhirat itu umpama
seribu tahun di dunia.
وَإِنَّ يَوۡمًا عِندَ رَبِّكَ كَأَلۡفِ سَنَةٍ۬ مِّمَّا تَعُدُّونَ
"...sesungguhnya
satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu yakni akhirat adalah
menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung." (Al-Hajj 22:47)
Andainya
diambil kira masa tidur dan masa alam kanak-kanak yang tidak tahu
apa-apa dan masa yang terbuang secara sia-sia mungkin kehidupan sebenar
dalam keadaan penuh sedar hanya sekitar 30 minit menurut masa Akhirat.
Hamba
Allah itu melepaskan keluhan alangkah tidak bermaknanya kehidupan dunia
ini berbanding kehidupan Akhirat yang kekal abadi. Namun dia merasa
hairan bagaimana dirinya lebih asyik memburu kehidupan singkat ini
sehingga melupai kehidupan yang abadi itu.
Ya, aku
manusia, makhluk yang sering lupa. Sesungguhnya manusia ini memang lalai
dan leka serta mudah lupa akan hakikat kehidupan.
Di
waktu lain hamba Allah tersebut membayangkan betapa indahnya syurga
penuh nikmat yang tidak pernah terlintas oleh akal, tidak pernah dilihat
oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga. Di syurga tiada
sebarang kesusahan, kesakitan atau keresahan. Tidak panas yang
merimaskan dan tidak sejuk yang membataskan pergerakan.
Sesuatu
yang dinikmati seribu tahun tidak hilang rasa nikmatnya. Para bidadari
disediakan paling kurang 70 orang. Kekuatan lelaki pada ketika di syurga
seratus kali ganda. Kenikmatan yang berlapis-lapis itu tidak pernah
menjemukan. Dan apa saja yang terlintas atau diniatkan akan menjelma
secara spontan.
Kemudian dia terbayangkan pula neraka yang
penuh azab sengsara. Seorang yang paling ringan seksa neraka ialah
dipasangkan kasut dikakinya yang dicipta dari bara api neraka, apabila
dipakai mendidih otaknya. Itupun dia merasakan seolah-olah kemuncak
segala azab. Betapalah kalau menerima seksa neraka yang sebenar.
Percikan api neraka itu andainya jatuh ke bumi nescaya hancur seluruh
bumi ini. Lantaran itulah maka Nabi Yahya a.s melarikan diri ke bukit
memencil diri dan menangis tanpa henti hingga di pipinya ada kesan
aliran air mata.
Demikian indahnya syurga dan begitu
azabnya neraka lalu hamba Allah itu bertanya kepada dirinya sendiri,
"Apakah yang engkau mahu wahai diri?" Lantas hatinya sendiri menjawab,
"Aku mahu kembali ke dunia dengan penuh penyesalan dan aku mahu memenuhi
seluruh umur dengan berbuat kebajikan."
Selepas itu hamba
Allah itu kembali sedar dari tafakkurnya dan dengan penuh keinsafan dia
berkata: "Eh! Mengapa aku minta kembali ke dunia untuk menyesal,
bertaubat dan berbuat kebajikan? Bukankah aku kini sedang berada di
dunia? Untuk apa aku minta kembali ke dunia di saat aku tidak mungkin
akan dikembalikan lagi ke dunia ketika penyesalan di Akhirat nanti?"
"Apa
amal yang telah kubuat bagi bekalan di akhirat nanti?" Hamba Allah itu
terkenangkan betapa sedikitnya amal yang dibuat, sedang usia telah
melebihi 40 tahun. Kecut perut mengenangkan apa yang dipesan Imam Al
Ghazali:
Anakku tercinta,
Semaklah nasihat
Rasullullah ﷺ ini. Tanda-tanda kebencian Allah terhadap seseorang ialah
ketika ia menyia-nyiakan waktu dengan melakukan hal-hal yang tiada guna.
Umur seseorang akan berlalu, tetapi jika ia tidak menggunakannya untuk
beribadah yang diperintahkan Allah, pantas ia menyesal sepanjang masa.
Barangsiapa telah berumur lebih dari empat puluh tahun, sedangkan amal
baiknya belum mampu mengalahkan amal buruknya, bersiap-siaplah ia masuk
neraka.
Neraka? Neraka yang itukah? Neraka yang Allah
sediakan bagi hamba-hambaNya yang berdosa, yang engkar dan derhaka. Tak
mungkin aku tertahan merasai azab neraka yang amat dahsyat itu. Tak
mungkin aku sanggup menelan zaqqum, sejenis buah neraka yang amat pahit
rasanya, menjadi makanan rasmi penduduk neraka. Tak mungkin aku sanggup
meminum air panas yang menggelegak, yang diminum tidak puas-puas, malah
bertambah dahaganya. Terburai perut tetapi terpaksa terus makan dan
minum minuman neraka.
Aaahh! keluh berat hamba Allah itu,
mengenang nasib yang belum tahu. Dia tahu Allah Maha Pengampun dan Maha
Penerima taubat. Maka dia bertaubat. Apakah taubatku di terima? Nasibku
belum tahu. Wahai diri...menangislah selalu, agar tangisan airmata itu
akan memadamkan julangan api neraka buatmu..pujuk hati kecil si hamba
Allah.
Anak-anakku? Isteriku?..oh! itu amanah Allah.
sudahkah aku mendidik mereka agar mentaati Allah? Bukankah Allah telah
perintahkan,
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ
أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ
عَلَيۡہَا مَلَـٰٓٮِٕكَةٌ غِلَاظٌ۬ شِدَادٌ۬ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ
أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ
"Wahai
orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu
dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu
(berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang
keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam
segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkan." (At-Tahriim 66:6)
Berapa
banyak ilmu yang telah ku ajar. Berapa banyak syariat yang dapat mereka
patuhi. Berapa banyak derhaka yang telah mereka buat...yang semua itu
akan menarikku tersungkur walau sudah dipintu syurga. Banyak lagi yang
belum ku buat. Walau kini nampak mereka taat, alhamdulillah, aku
bersyukur ya Allah, tapi biarlah ketaatan itu ikhlas kerana Allah.
Air
mata mengalir dan terus mengalir dari dua mata si hamba Allah. Mata? oh
mata, satu nikmat yang Allah beri agar hamba itu dapat melihat
kebesaran dan keindahan Allah. Tapi untuk apa mata itu digunakan selama
lebih empat puluh tahun ini? Untuk bersyukur atau untuk kufur akan
nikmat Allah itu? Berapa banyak haram yang dilihat, walau ditolak-tolak,
namun nafsu tetap menguasai..akhirnya kalah jua. Itu baru mata, belum
lain anggota.
Hamba Allah itu memejam matanya, gelap dan
kelam pandangan. Bagaimana agaknya gelap dalam kubur nanti? Apa cahaya
yang kubawa untuk menerangi alam barzakh itu?
Hamba Allah
itu teringat Rasulullah ﷺ pernah bersabda: "Seorang manusia apabila
diletakkan di dalam kuburnya, dan sahabatnya berpaling pulang dan dia
mendengar suara sandal mereka, akan datang kepadanya dua Malaikat dan
mendudukkannya, dan bertanya, Siapakah Tuhanmu? Siapakah Nabimu? Apakah
Agamamu? Maka dia menjawab: Allah adalah Tuhanku, Muhammad adalah
Nabiku, Islam adalah Agamaku. Terdengarlah seruan dari langit, Benar
hambaku, hamparkan baginya tikar di syurga, lalu angin dan wangi surga
datang kepadanya. kemudian diluaskan seluas mata memandang, seorang yang
rupawan datang menemaninya yang tiada lain amal solehnya" (HR. Ahmad,
Abu Daud, Hakim dan Baihaqi)
Amal soleh? Apa amal soleh
yang sudahku buat? Rasanya aku belum berbuat apa-apa yang soleh. Maka
berazamlah hamba Allah itu, akan beramal soleh, namun terasa kepayahan
dek kerana nafsu ammarah masih bersarang dijiwanya. Nafsu yang
senantiasa mengajak kepada kejahatan.
Namun dia tetap
yakin, Allah tidak akan mensia-siakannya. Dia cuba bersangka baik dengan
Allah yang Ar-Rahman, Ar Rahim, Al Ghafur. Bila dikenangkan kemurahan
Allah, Maha pengampunnya Allah hati yang bergelojak itu kembali tenang.
Lalu hatinya berdetik, "Ya Allah, Wahai Tuhanku. Bila mengenangkan Qahhar-Mu, Jabbar dan
Syadiidul ‘iqab-Mu, rasa
mahu putus jantung hatiku, kerana tidak lepas dari seksa-Mu. Hamba-Mu
rasa bagaikan tiada harapan, siapakah yang dapat membersihkan diri
ini dari dosa yang memburu setiap hari?
Tuhanku, bila aku mengenangkan Ghofurur-Rahim-Mu, putus asaku menghilang, semangat pulih semula, lalu harapanku pada-Mu subur kembali."
Maka
hamba Allah itu terus menerus memohon keampunan dari Allah atas
dosa-dosanya yang lalu, serta berusaha membuat bekal amal bagi hari-hari
yang payah di barzakh dan akhirat nanti.
Dia mengingatkan
dirinya, "Wahai diri, ingatlah kehidupan Akhirat itulah kehidupan yang
hakiki dan kekal abadi. Janganlah kerana memburu nikmat sedikit di dunia
ini hingga derhaka kepada Allah SWT, yang akibatnya terlepas dari
nikmat yang tidak terhingga lagi kekal. Janganlah kerana takut kepada
kesusahan sedikit di dunia ini hingga lalai dari mentaati Allah SWT,
hingga menanggung azab neraka yang dahsyat dan kekal."
محمد فضلي بن يوسف
29 Rabiul Akhir 1432H
03 April 2011
Silakan tag@share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150201782151719)
1. Saya sudah membuat nota Cara Membina Link dan Share Nota , harap dapat membantu untuk share nota-nota saya untuk diri sendiri dan kawan-kawan.
2. Berumrah bersama kami - Bimbingan dan tarbiyah sepanjang jalan. Rabbani Travel & Tours Sdn Bhd, hubungi saya 012-4962812, Mohd Fadli Yusof.
3. Sumbangan dialu-alukan sebagai saham akhirat untuk misi dakwah di pedalaman Sabah. Keperluan untuk perjalanan pendakwah dan kebajikan mualaf antara yang amat diperlukan. Jika anda bermurah hati untuk menderma atau zakat, bolehlah masukkan ke akaun saya,
164427309874 Mohd Fadli Yusof, Maybank.
14290000431202 Mohd Fadli Yusof, CIMB.
14014020737552 Mohd Fadli Yusof, Bank Islam.
email mfadli11@yahoo.com
Kalau sudah masukkan sumbangan, tolong nyatakan jumlahnya dan bila masa dimasukkan.
4. Sumbangan berbentuk barangan seperti buku /CD/VCD panduan solat, buku Iqra', Al-Quran terjemahan, alat tulis, telekung, tudung, baju melayu, kain sarung, kopiah dan lain-lain boleh dikirim terus ke: ZAKI YUDIN BIN ABD RAHIM, PETI SURAT 340, 89007, KENINGAU, SABAH. Tel: 013-8752989.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan