nuffnang

Jumaat, 8 April 2011

PROGRAM IMAM MUDA QARIAH.. (7 JANUARI 2011)


7 Januari 2011 (Jumaat) – Bahagian Pengurusan Kariah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini mengumumkan penganjuran program siri pencarian Imam Muda Qaryah (IMQ) bagi pusat pentadbiran masjid zon-zon Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bertempat di Bilik VIP Bunga Tanjung, Dewan Jejantas, Kompleks Pusat Islam.

Program bercorak dakwah ini merupakan salah satu inisiatif atau usaha pihak JAWI dalam mencungkil bakat dan menarik minat generasi muda yang berkebolehan untuk mewarisi tugas mulia mengimarahkan masjid dan surau sebagai Imam.

Objektif khusus program ini dianjurkan bagi melahirkan generasi imam pelapis di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang profesional dan serba boleh serta memberikan latihan kepada para peserta secara khusus tentang keperluan untuk menjadi imam yang berilmu dan berketerampilan.

Menurut YBhg. Dato’ Haji Che Mat Bin Che Ali, Pengarah JAWI merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), program ini selaras dengan misi JAWI iaitu melaksanakan dakwah secara menyeluruh dan profesional di samping dapat mempertingkatkan kecekapan system pengurusan masjid dan surau.

Beliau berkata, kebanyakan imam-imam terutama imam ratib yang dilantik oleh pihak JAWI dan MAIWP terdiri daripada warga emas berusia antara 40 hingga 60 tahun dan fenomena ini wujud berikutan kurangnya kemahiran serta minat generasi muda untuk menggalas tanggungjawab sebagai imam.

Oleh itu, penganjuran Program IMQ ini merupakan tindakan proaktif jabatan dalam menangani situasi ini dan dilihat sebagai landasan terbaik dalam melahirkan imam-imam pelapis di kalangan generasi muda di samping memaparkan kepada masyarakat berkenaan kepentingan ilmu duniawi dan ukhrawi serta ilmu-ilmu berkaitan yang wajar dikuasai untuk menjadi seorang imam yang terbaik.

Untuk makluman, program ini dijalankan dengan kerjasama MAIWP, pusat-pusat pentadbiran masjid zon, masjid-masjid, surau-surau jumaat dan surau-surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Penyertaan terbuka kepada warganegara berusia antara 18 hingga 40 tahun, bermastautin tetap, bekerja atau belajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau Putrajaya serta mendapat pengesahan daripada Penyelaras Pusat Pentadbiran Zon. Manakala peserta yang bermastautin di Putrajaya pula boleh mendapat pengesahan daripada Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Kariah, Cawangan Putrajaya.

Pemilihan peserta dibuat berdasarkan penguasaan ilmu pengetahuan Islam, syariat dan penampilan asas di samping memenuhi syarat-syarat menyertaan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Para peserta terlebih dahulu dikehendaki menjalani sesi latihan di pusat-pusat zon pentadbiran masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Purajaya sebelum terpilih ke peringkat seterusnya bagi merebut gelaran juara Imam Muda Qaryah.

Modul program ini juga tidak melibatkan penyingkiran dan lebih menumpukan kepada sesi pembelajaran dan latihan. Antara modul pengajaran dan penilaian dari segi teori serta praktikal yang akan dimuatkan dalam program keagamaan ini ialah kemahiran ilmu akidah, ilmu fekah dan mazhab, ilmu tajwid dan taranum, penulisan dan penyampaian khutbah.

Peserta IMQ juga bakal diuji dan akan diberikan beberapa tugasan berkaitan oleh tenaga pengajar IMQ termasuk menyampaikan khutbah serta mengimamkan solat jumaat secara langsung, menguruskan jenazah, mengikuti program dakwah dan sesi kaunseling.

Peserta terbaik yang turut dinobatkan sebagai juara IMQ akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 dan sijil penyertaan, naib juara (wang tunai RM15,000 dan sijil penyertaan) dan tempat ketiga (wang tunai RM10,000 dan sijil penyertaan). Manakala tujuh penerima saguhati pula bakal menerima wang tunai sebanyak RM1,000.

Sementara itu, semua peserta program IMQ yang mengikuti modul sehingga selesai dengan cemerlang akan diberikan sijil penyertaan. Penganugerahan sijil penyertaan ini merupakan tanda penghargaan JAWI atas komitmen yang diberikan oleh peserta sepanjang program berlangsung.

Turut hadir sama, YBhg. Puan Hajjah Ramlah Binti Yong, Timbalan Pengarah (Operasi) JAWI, YBhg. Tuan Haji Abdul Murat Bin Abdul Wahab, Timbalan Pengarah (Pengurusan), YBhg. Tuan Haji Hashim Bin Haji Salleh, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Kariah JAWI, YBhg. Encik Wan Jaapar Bin Wan Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kariah JAWI dan YBhg. Tuan Asmawi Bin Tuan Umar, Pegawai Perhubungan Awam Dan Penerbitan JAWI.


Foto oleh:
Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria
Teks oleh:
Unit Perhubungan Awam Dan Penerbitan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular