nuffnang

Ahad, 18 November 2012

Belajar dari Orang Gila

Ketika sedang minum petang di sebuah warung kecil di tengah-tengah kota Kuala Lumpur, sambil menunggu hujan reda petang itu, pandangan mata Kundul terarah melihat gelagat warga kota. Ada yang berteduh dibawah pokok, ada yang duduk berbaris di atas tangga, berpayung di celah pondok bas kerana keadaan pondok yang agak kecil, tidak kurang juga yang sibuk berlari ke sana sini semacam hendak mengejar sesuatu. Ada yang membawa anak-anak kecil meredah hujan sambil sebelah tangan menarik beg besar. Tentu itu anak dan bapanya. Kasihan Kundul melihat anak-anak kecil itu yang terpaksa mengikut bapanya meredah hujan. Dalam hati, demamlah anak-anak ini. Kasihan sungguh. Kundul terus minat memerhatikan gelagat-gelagat mereka. Sambil menunggu pesanan tea tarik dan roti bakar yang belum sampai. 

Walau apapun gelagat warga-warga kota ini, mereka pasti ada tujuan dan sebabnya. Masing-masing mempunyai urusan. Hanya mereka yang tahu. Maklum sajalah di ibu kota macam ini banyak urusan boleh buat. Urusan rasmi, perniagaan, belajar dan lain-lain lagi. Tapi tentu tidak kurang juga yang datang hanya sekadar suka-suka, sekadar mahu melihat-lihat, lepak dan sebagainya. Itulah ragam kebiasaan kota.
 
gambar hiasan
Kemudian pandangan Kundul terarah kepada gelagat seseorang. Orang kurang siuman. Dia menyusuri sebuah lorong sambil menggalas sebuah kampit kecil. Pakaiannya barangkali. Dia akan singgah di setiap timbunan sampah di lorong itu. Mencari sesuatu yang dia sahaja yang tahu. Menyelongkar timbunan sampah sarap tanpa memperdulikan sesiapa. Seolah dalam dunia ini dia seorang sahaja yang ada. Kesian juga Kundul melihat gelagatnya. Mungkin juga dia sedang mencari makanan kerana kelaparan. Sesekali dia bertembung dengan orang-orang yang turut melalui lorong itu, tapi tiada siapa pun yang ambil peduli atau bertanya apa keperluannya. Pada mereka tentu hanya menggap dia hanya orang gila, cukuplah sekadar tidak mengganggu kehidupannya. Tidak perlu bertanya khabar atau apapun.

Kemudian ada sebuah timbunan sampah kecil  betul-betul berhadapan di warung tempat Kundul minuman petang itu, Kundul mengeluarkan sekeping wang kertas lalu meletakkan di atas timbunan kecil tadi dengan harapan orang gila tersebut akan mengambilnya. Pada mulanya Kundul ingin memberikan terus padanya ketika nanti dia lalu di hadapan Kundul, tapi dalam hati Kundul biarlah dia merasakan nikmat menjumpai rezeki di sebalik usahanya. Lagipun risau juga sebab Kundul tidak pernah berhadapan face to face dengan orang semacam itu.

Kemudian sebaik dia sampai tempat Kundul meletakkan wang kertas tadi, Kundul merasa lega kerana dia terus mengambil wang tersebut sambil membeleh-belek, depan dan belakang.Lama juga dia memerhati wang tersebut. Lagak bagai seseorang yang cuba memastikan ketulenan wang kertas. Diperhatikannya wang kertas itu sambil mulutnya terkumat-kamit. Mungkin dia sedang mengucap syukur. Syahdu juga Kundul melihatnya. Rasa berbaloi niat murni Kundul dapat membantunya walaupun tidak banyak. Boleh nanti dia guna untuk beli makanan.

Namun rasa kesyahduan Kundul bertukar serta merta. Kundul terpinga dan tergamam bila melihat  orang gila itu kemudiannya membuang wang kertas itu. Dia membuangnya semacam hanya membung sampah yang tidak memberi sebarang manfaatpun baginya. Lalu dia mengambil sisa bungkusan air yang orang sangkutkan pada sebatang kayu di tepi sampah tadi. Kenapa dia tidak ambil duit Kundul? Kenapa dia membuangnya? Tapi Kundul yakin dia tahu bahawa itu memang duit. Cuma sahaja dia mungkin tidak dapat memastikan ketulenannya. Tapi itukah sebab dia tidak menyimpan wang kertas itu?. Orang itu meninggalkan tempat itu dan terus pergi  ke lorong lain. Selepas itu Kundul hanya melihat wang kertas tadi diambil oleh seorang anak muda yang sepantas kilat mengutipnya.  Biarlah kata Kundul. Orang gila itu juga telah lenyap dari pandangan Kundul. Tapi dia telah meninggalkan persoalan yang tiada jawapan tepat  bagi diri Kundul. Membuatkan diri Kundul terus berteka-teki. Mungkin juga dia telah belajar dari pengalaman lalu. Duit telah menjadikan apa yang dia sekarang. Duit tidak memberi sebarang makna baginya. Mungkin itulah sebabnya...

Apapun Kundul telah belajar dari orang gila itu.. Wang/harta tidak menjanjikan apa-apa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular