nuffnang

Isnin, 29 Oktober 2012

Daging Qurban dan Dompet Hilang

26 Oktober 2012, Presint 16, Putrajaya:

Kundul bersama anak sulungnya 13 tahun dan 4 tahun, pergi ke tapak penyembelihan Qurban. Sahabat dan dua orang anaknya juga ikut menaiki kereta Kundul. Setiap tahun Kundul memang akan membawa kedua-dua anak  lelakinya untuk mengikuti atau paling tidak melihat upacara penyembelihan qurban ini. Dalam fikiran Kundul , mudah-mudahan akan terserap ke dalam hati sanubari mereka sesuatu pengajaran hasil melihat dan mengikut upacara penyembelihan qurban ini.

Waktu mula-mula dulu, ada jugalah Kundul menceritakan serba sedikit mengenai sejarah ibadah qurban ini kepada mereka. Bagaimana seorang ayah iaitu Nabi Ibrahim sanggup berkorban, mengorbankan nyawa anaknya Ismail yang tercinta, hanya semata-mata menyahut perintah Allah. Begitu anaknya Ismail, sedikit tidak gentar tatkala si ayah menyatakan untuk menyembelihnya kerana diperintahkan Allah. Malah Ismail meminta ayahnya untuk melaksanakan segera perintah itu. Tapi sebenarnya itu tidak lain hanyalah semata-mata ujian kepada mereka berdua. Ternyata keimanan si ayah dan begitu juga anaknya tidak tergugat walau sedikit dengan ujian tersebut. Lantas Allah menggantikan Ismail dengan seekor kibas untuk dijadikan korban. Perintah Allah itu kekal hingga ke hari ini dan sampai bila-bila. Sesungguhnya peristiwa permulaan qurban ini mengandungi makna yang begitu mendalam dalam kehidupan manusia itu sendiri. Malah kelansungan perintah itu banyak memberi faedah kepada kemaslahatan manusia sejahat.

Hari ini, sewaktu sampai di tapak penyembelihan qurban lebih kurang jam 10.30 pagi, agak kelewatan sedikit nampaknya. Di fahamkan sebanyak 47 ekor lembu telah ditumbangkan. Khusus untuk ahli kariah sekitar.

Tanpa berlengah, Kundul terus menuju ke satu khemah untuk menyertai acara menyiat dan melapah daging. Beg sandang berisi dompet, kamera dan  beberapa dokumen lain dalam dompet seperti kad pengenalan Kundul dan kad pengenalan anak, lesen memandu dan beberapa kad bank serta duit 50sen,  Kundul amanahkan kepada anak sulungnya untuk menjaga. Takut gangguan ketika melapah daging. Mengenai duit 50sen itu, Kundul memang tidak suka menyimpan duit lebih dalam dompet. Seingat Kundul paling banyakpun dalam RM200.00. Itupun jika ada keperluan untuk membeli barangan atau keperluan lain.

Dalam keghairahan melapah dan menyiat-nyiat daging bersama beberapa orang dalam khemah, terdengar permintaan dari seorang kakak yang kebetulan juga sedang menguruskan daging-daging mengikut sukatan ke dalam plastik. Dia meminta Kundul supaya tulang bahagian kaki lembu yang sedang Kundul siat dagingnya, diasingkan untuk diberi kepadanya nanti. Kundul menuruti kemahuannya dan meletakkan di satu sudut. Kemudian dia turut memasukkan beberapa hirisan daging ke dalam sebuah plastik dan menyerahkan kepada Kundul. Tanpa berfikir Kundul ambil dan menyerahkannya kepada anak sulungnya.

Di kiri kanan Kundul juga, kelihatan beberapa orang lain sedang memainkan peranan menyediakan simpanan untuk diri masing-masing. Hati Kundul mula tidak sedap. " Ini daging qurban, tidak elok mereka buat macam ini. Daging-daging ini perlu diagih sama rata" bisik hati. Namun, nampaknya masing-masing semakin rancak pula. Sehingga ada seorang hamba Allah ini, mungkin perasan akan fiil petugas-petugas ini yang semakin ghairah mendapatkan habuan masing-masing. "Penuhkan dulu bekas ini" kata hamba Allah itu tadi. Kundul pun merasa tidak senang dengan pemberian daging oleh si kakak sebentar tadi. Dalam fikiran Kundul, tak apalah, Kundul buat kerja lebih dan Kundul tak akan ambil lagi daging yang telah ditimbang dalam bekas itu nanti. Cukuplah. Tiba-tiba kedengaran, " Siapa nak ni?." sambil di tangan kananya ada tulang bahagian leher  lembu. Tiada seorang pun menyahut. Lalu dia meletakkanya semula di atas hamparan canvas. Ada pula si kawan ini, tiba-tiba mengambilnya dan membawa kepada Kundul . " Kita ambil nak? Banyak daging lagi ni. Kita bawa balik. Nanti kita bahagi dua"  Dia terus mengangkatnya dan membawa. Memandangkan ia agak berat dia meminta Kundul untuk membantunya mengangkat sama untuk di bawa ke dalam kereta.  Pada mulanya Kundul agak keberatan tapi jadi serba salah sebab si kawan ini  bersungguh benar dia supaya Kundul datang membantunya. Kundul amat malu dengan tindakan tersebut. Orang kiri kanan hanya memandang gelagat Kami.

Kundul dan kawannya terus beredar meninggalkan tapak penyembelihan. " Sebenarnya tak elok kita ambil ni" sambil melihat tulang yang kami angkat tadi. Diletakkan di bahagian kaki penumpang hadapan dengan beralas surat khabar. " Engkaulah. Siapa suruh kau ambil. Aku tak nak. Kau yang nak sangat" pula si kawan ni. Padahal dia yang beria-ia sangat tadi.

Sampai di halaman rumah. Kundul dan kawannya terus mengerjakan tulang yang dibawa tadi. Banyak juga daging dari tulang itu. Ada lebih kurang 2 kilo lebih. Dalam hati, Kundul akan menyerahkan bahagian ini kepada jiran dan sahabat lain. Kundul mengambil dan memasukan ke dalam plastik. Selebihnya Kundul biarkan untuk bahagian kawan Kundul tadi. Katanya dia hendak bagi kepada pengasuhnya. Kemudian masing-masing berkemas masuk ke dalam rumah membawa bahagian masing-masing.

Belum sempat masuk ke dalam rumah, Kundul teringat beg sandang yang Kundul beri kepada anak sulung Kundul di tapak penyembelihan tadi. Kundul periksa dalam kereta. Tiada. " Mungkin dia sudah bawa masuk rumah" kata Kundul. Tapi malangnya bila Kundul tanya dia sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, dia cakap tertinggal atas kerusi di tapak penyembelihan. Kundul punya angin. Apa lagi 'berasap'lah. Mujurlah ibunya cepat meredakan keadaan. " Tak apalah bang. Nak buat macam mana. Nak pergi caripun, rasanya payah dah tu. Berdoa dan bertawakkal sajalah. Mudah-mudahan orang yang jumpa memulangkannya". Kemudian Kundul  menambah. " Pergi solat dan berdoa kepada Allah. Buat solat hajat sekali. Mohon supaya beg abah tu dipulangkan. Itu sahaja  yang abang boleh buat.  Bukan senang nak uruskan dokumen-dokumen dalam beg tu" Bebel Kundul masih tidak puas hati. Tanpa sepatah dia bercakap, dengan muka sedih dia beredar mengambil air wudhu. Barulah Kundul merasasa lega sedikit. Tawakkal kepada Allah sahajalah.Kesian juga Kundul tengok anak sulungnya itu. Tidak patut juga Kundul persalahkan dia seratus peratus. Ini pasti ada hikmahnya.

Sebaik anaknya solat, Kundul pun pergilah ke bilik air untuk mandi bersiap untuk solat Maghrib. Belum sempat Kundul selesai mandi, anaknya perempuannya menghulurkan handphone kepada Kundul didalam bilik air kerana ada orang menelefon. Jiran sebelah rumah meminta Kundul supaya menghubungi seseorang yang telah menjumpai beg Kundul di tapak sembelihan. Tapi bila Kundul menghubungi orang berkenaan, dia memaklumkan beg itu sememangnya ada dalam simpanan beliau tetapi hanya dapat menyerahkan kepada Kundul selepas dua hari kerana beliau dan keluarga balik ke kampung. Tidak kisahlah yang penting beg dan dokumen-dokumen tersebut tidak hilang.

Syukur kepada Allah. Dia hanya memberi ujian sedikit. Lantas dalam fikiran saya, sebenarnya banyak hikmah di sebalik kejadian ini. Kundul fikir ini juga sedikit balasan dan dugaan dariNya, akibat tindakan tidak betul semasa di tapak penyembelihan pagi tadi. Mengambil bahagian daging dalam keadaan tidak sepatutnya. Mengambil hak orang lain. Mujurlah Kundul ada menyerahkan juga kepada beberapa jiran yang lain. Mudah-mudahan sahaja tidak mendapat murka dari Allah di kemudian harinya nanti.


Berikut petikan pengajaran yang Kundul petik dari FB kawan hasil kejadian ini:
Pengajaran Dari Kisah Dompet Yg Hilang..

Dompet adalah simbol kpd segala keperluan dunia..di dlmnya tersimpan benda2 yg sgt penting dlm hidup kita spt kad pengenalan,wang ringgit dan lain2. Bukti ia adlh pkara penting dlm hidup kita ialah

kita berasa sgt cemas ketika ia hilang dr tgn kita. Kecemasan ini kadangkala sgt mganggu hidupan harian kita. Kita hilang ketenangan dan sgt susah hati. Namun adakah kita pernah terfikir bagaimana kalau kita kehilangan TUHAN di dlm kehidupan kita? Kehilangan TUHAN bererti kita kehilangan segala2nya. Yakni dunia dan segala isinya tdk bererti lg bg kita. Sekalipun kita memiliki kekayaan yg melimpah ruah. Apa yg kita lakukn sudah tiada nilaian di sisi Tuhan..Tuhan membiarkn kita. Segala yg diberikannya adlh Istidraj. Kehilangan Tuhan bererti kita adalah hamba yg bakal mjd bahan api neraka. Apakah kita tdk cemas?Atau apakah kita jg cemas sptmana cemasnya kita tatkala kita kehilangan dompet? jika kita berasa cemas maka itulah keselamatan bg kita ttp jika tdk maka malanglah nasib kita di akhirat kelak. Hari ini ramai manusia yg kehilangan Tuhan.Hujahnya ialah sgala kerosakan di daratan dan di lautan berlaku.Tuhan lepas tgn. Manusia hidup nafsi2. Kemaksiatan berleluasa. Penzinaan, perogolan, rompakan, buang bayi, fitnah menfitnah, pembunuhan, pergaduhan, peperangan dan 1001 mcm lg mslh sosial menimpa manusia termasuk umat Islam. Di dlm rumahtangga isteri tak taat suami, anak2 tak taat dgn ibubapa, berlaku perceraian, di sekolah murid2 tak hormat guru, guru2 pula tak berhikmah dgn murid2. Inilah kesannya apabila manusia sudah kehilangan Tuhan. Ia lebih parah daripada kehilangan dompet dll harta duniawi. Kehilangan dompet atau harta mungkin kita akn boleh miliki semula. Tp jika kehilangan Tuhan,jdlah kita hamba yg malang di akhirat sana. Sama2lah kita renungi..moga2 ada manfaatnya. Akhir kata, Milikilah Tuhan krn Dia adlh sumber segala2nya. .Wallahu'alam -Sudirman Usman

Syukran Jazilan. Semoga Allah merahmati sahabat saya ini -Sudirman Usman dan hendaknya kita semua jangan 'Kehilangan Tuhan'.


http://translate.google.com/#ms/en/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular