nuffnang

Sabtu, 1 Mei 2010

MENARA DI REMPUH

Semalam Kundul ada di Kuala Lumpur. Kundul menyaksikan satu kejadian yang maha dahsyat. Sepanjang hayat Kundul itulah peristiwa yang sungguh menakut dan mengerikan. Biasanya kejadian macam itu, Kundul tengok dalam TV sahaja. Tapi kali ini ianya berlaku depan mata Kundul.

Subhanallah... subhanallah...subhanallah...


Hanya itu ucapan yang terkeluar dari mulut Kundul tatkala mala petaka besar itu terjadi. Kundul tidak sedar berada di kawasan mana waktu itu. Kundul juga sudah tidak ingat apa-apa dan tidak lagi ambil tahu sesiapa yang ada berada di situ. Kundul merasakan seolah hanya Kundul seorang sahaja yang ada di situ. Kundul tidak lagi nampak sesiapa melainkan bencana yang terus berlaku di depan mata Kundul. Ya Allah.... Ya Allah.. Kundul terus takut.

Pada mula kejadian itu, Kundul melihat menara KL. Dalam hati Kundul berkata"bagaimana kalau menara KL ini tiba-tiba runtuh atau ada pengganas yang cuba merempuh. Mungkinkah ada isyarat atau amaran awal yang memberitahu bahawa ianya akan mengalami musibah".
Belum sempat Kundul memikirkan apa-apa jawapan, tiba-tiba sahaja Kundul terlihat suluhan lampu terang-benderang daripada tingkat atas menara KL Tower itu berwarna merah berkelip-kelip. Lantas persoalan Kundul tadi terjawap. Inilah amarannya! KL Tower akan mengalami mala petaka.. Subhanallah! subhanallah! Kundul mula panik. Kundul berdiri sambil mendapatkan posisi untuk melihat lebih jelas menara KL itu. Suasana malam itu tiba-tiba berubah. Dari suasana hiruk-pikuk tadi tiba-tiba menjadi sunyi. Orang ramai mula tertumpu ke arah menara KL.

Kundulpun tidak lagi peduli siapa-siapa. Menara KL terus memberi isyarat amaran dan tiba-tiba kedengaran suara kuat memberitahu " Kita akan mengalami bencana !. Orang ramai menjadi panik dan kelam kabut. Suasana menjadi riuh dan kacau bilau. Kundul bertambah panik. Astaghfirullahal adzim....Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! Allahu Akhbar! La ilaha illallah.. Segala kalimah terkeluar dari mulut Kundul.

Tidak sampai seminit, tiba-tiba muncul satu cahaya berkilau sepantas kilat dengan pekikan bunyi yang sangat kuat merempuh KL tower . Orang ramai berteriak menjadi tidak menentu. Lari bertempiaran. Kundul juga lari lintang pukang . Berlari sekuatnya entah ke mana. Kundul tidak lagi peduli apa berlaku seterusnya pada KL tower. Yang pasti dentuman kuat tadi telah menghancurkannya.

Keadaan terus menjadi kacau. Macam-macam suara dan bunyi kendengaran. Tangisan, pekikan, laungan, teriakan semua ada. Tidak semana-mana kilauan cahaya sepantas kilat tadi datang lagi dan kini ianya berlegar-legar di ruang angkasa dengan bunyinya yang amat menyakitkan telinga. Mungkinkah inilah tiupan sangkakala. Inikah Kiamat! Ya Allah...... Langit menjadi bertambah gelap dengan dentuman geruh menambahkan lagi suasana panik. Dentuman guruh dan pekikan kilau cahaya itu menjadikan langit bagai terbelah ditambah lagi dengan angin kencang yang semakin mengganas.

Allahu Akhbar! Allahu Akhbar!...

Kundul terjaga.... azan subuh rupanya. Masya Allah. Ingatkan betul-betul tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular