nuffnang

Khamis, 8 November 2012

Jam dua belas tiga minit.

Setiap kali melihat detik waktu ini secara kebetulan, pada jam yang dipakai, telefon yang digunakan atau semasa mengguna komputer, pastinya akan membuatkan Kundul terpaku seketika. Kekadang tersandar dibuatnya. Menongkat dahi. Memejam mata. Fikiran jadi tidak menentu. Memikirkan apa sebenarnya 'sesuatu' di atas kekerapan kebetulan ini. Teringat akan hakikat bahawa Allah tidak menjadikan setiap sesuatu itu dengan sia-sia. Malahan daun yang gugur itu pun punya sebab dan hikmah tersendiri. 


Sering kebetulan melihat detik waktu ini pada tengah malam dan tengahari. 12:03. Ianya adalah hari dan bulan kelahiran. Mengikut perkiraan rambang sejak tahun 2011, tidak kurang ianya telah berlaku tidak kurang 30 kali. Penghitungan terus dibuat menanti kebarangkalian sesuatu akan terjadi tatkala tiba hari dan bulan pada detik waktu ini di tahun hadapan.

Firasat hati mengatakan mungkinkah ianya tarikh akhir sebuah kehidupan yang makin hampir. Ia tidak pasti. Detik itu juga bukan sesuatu yang pasti untuk ajal sampai. Tapi ajal maut itu sudah semestinya. Tinggal waktu jadi penentu. Hampir dekat atau bila-bila saja.

Apapun detik waktu ini benar-benar memberi hikmah dan pengajaran. Namun ada juga sedikit 'rasa ketakutan'. Kesudahan yang lebih baik aku harapkan dariMu ya Allah...

Kundul tidak pasti. Wajar atau tidak perkongsian perkara ini kepada umum. Namun rasa hati mahu ianya tertulis. Dizahirkan juga. Setidak-tidaknya untuk terus memberi peringatan pada diri. Kalau memang benar ianya merupakan peringatan-peringatan tentang sebuah kematian yang semakin dekat, tanpa detik itu pun pasti, mahu tidak mahu, mati itu suatu kepastian. 
Allah itu Maha Pemurah, Maha Penyayang. Dia Maha segala sesuatu. Tiada upaya melainkan izin dan atas kuasaNya juga. Sesuatu takdir ke atas setiap makhlukNya telah ditentukan. Sebagai makhluk dan hambaNya yang kerdil hanya perlu bersangka baik. Teruslah mengoreksi diri. Memperbaiki segala kelemahan. Terus bermunajat ke hadrat Allah. Semoga diberi kekuatan. Semoga Dia memudahkan segala urusan. Tidak terus leka dan hanyut di buai.

Adakah baki usia yang ada ini cukup untuk menimbus segala dosa yang lepas? Ya Allah... Berilah kami ruang dan kesempatan. Berilah kami kekuatan untuk memperbaiki diri.


Ya Allah.. 
Segala puji selayaknya hanya untukMu. Selawat dan salam ke atas junjungan RasulMu, keluarga serta para sahabat baginda.

Ya Allah...
Sesungguhnya hambaMu ini paling banyak melakukan dosa.
Aku bermohon kepadaMu dengan penuh keikhlasan dan ketulusan. 
Ampunilah dosa-dosa kami ya Allah..
Dosa yang besar ataupun dosa yang kecil, sama ada yang kami sedari atau tidak.
Ampunilah dosa kedua ibu bapa kami. Dosa isteri dan anak-anak kami. Dosa keluarga-keluarga kami. Dosa abang-abang kami. Dosa adik-adik kami. Dosa pemimpin-pemimpin kami. Guru-guru kami. Sahabat-sahabat kami. Dosa orang yang berbuat baik kepada kami. Dosa kaum muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah mati.

Ya Allah.. Kami bermohon kepadaMu dengan penuh keikhlasan dan ketulusan. 
Jadikanlah hati kami ini hati manusia yang senantiasa cinta akan apa yang Engkau suruh. 
Jadikanlah hati kami ini hati manusia yang senantias benci akan apa yang Engkau larang. 
Jadikanlah hati kami ini hati manusia yang senantiasa istiqamah dan sabar dalam mentaati segala perintahMu. 

Ya Allah.. Kami bermohon kepadaMu dengan penuh keikhlasan dan ketulusan. 
Panjangkanlah umur kami. Tolonglah kami untuk kami mengisi sisa-sisa usia yang ada dengan kebaikan. 
Murah dan cukupkan rezeki kami. Kurniakanlah kami rezeki dari sumber yang Engkau berkati. 
Matikanlah kami dalam Islam dengan kalimah Laa ilaaha Illallah..
Permudahkanlah bagi kami sewaktu sakaratul mau.
Permudahkan bagi kami soalan Munkar Nakir.
Jauhkanlah kami dari azab kuburMu.
Permudahkan bagi kami hisab di Padang Mahsyar.
Berikanlah kepada kami kitab amalan kami dengan tangan kanan
Selamatkanlah kami sewaktu meniti Sirotol mustaqiim..

Aamin..Aamin.. Aamin ya rabbal 'alamiin.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular